Sekelumit dari Analisis Ucapan Dasar Presiden PMUKM 2010/2011 Part II

1. Kebajikan mahasiswa kampus Kuala Lumpur (KL) dan Cheras tidak dibawakan dengan begitu serius dalam dasar presiden pada sesi ini. Ucapan dasar hanya menyentuh PMUKM akan memfokuskan masalah yang dihadapi. Tetapi tiada masalah mahasiswa kampus KL dan Cheras yang dikemukakan secara berkesan. Hal ini menunjukkan sikap acuh tidak acuh PMUKM yang ditunjangi oleh saudara presiden terhadap permasalahan di kampus KL dan Cheras. Isu kemudahan asas yang kritikal dan lain-lain yang membelenggu mahasiswa kampus KL sepatutnya diberikan perhatian sewajarnya untuk disampaikan kepada pihak pengurusan universiti. Kampus Cheras yang di belenggu dengan masalah keselamatan dan birokrasi pengurusan HUKM perlu di nilai dan di lihat dengan sewajarnya oleh pucuk pimpinan PMUKM.

2. Menerusi paksi kedua iaitu kebebasan akademik dan kedinamikan intelektual, seperti biasa tiada sebarang usaha cadangan yang kritis yang mampu memberi jalan kepada pihak universiti untuk menerima paksi tersebut. sebaliknya hanya retorik kata-kata yang berbunga-bunga dan tidak berpijak di bumi realiti.


3. PMUKM ASPIRASI sesi 2008/2009 yang dinakhodai oleh saudara Mohd Nasir Nazri telah menerima kutukan hebat dan provokasi yang sangat memualkan takkala GMUKM menyatakan bahawa beliau tidak layak menjadi presiden kerana bertanding menerusi kerusi Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (kini Ekonomi dan Pengurusan). Hujahan GMUKM ketika itu saudara Nasir hanya dipilih oleh warga fakulti sahaja tidak dipilih oleh mahasiswa secara keseluruhan. Oleh keadaan itu beliau tidak layak menjadi presiden PMUKM pada ketika itu. Ironinya, seperti meludah ke langit apabila PMUKM sesi kali ini membariskan presiden, setiausaha dan timbalan setiausaha yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) terdiri dari calon Fakulti dan di pilih oleh masyarakat dalam fakulti dan bukannya mahasiswa UKM secara menyeluruh.

Semoga dengan analisis ini mampu memberi gambaran dan realiti sebenar yang berlaku dan membuka mata semua pihak agar tidak terlalu idealis dengan menidakkan realiti sebenar yang berlaku. Selamat Menjalankan Amanah buat semua...

:: TEGUH SETIA BERSATU ::

17 Mac 2011 at 9:00 PTG , 6 Comments

Sekelumit dari Analisis Ucapan Dasar Presiden PMUKM 2010/2011 Part I

1. Pada 15 mac 2011, telah berlangsung majlis penyerahan watikah dan ucapan dasar presiden PMUKM sesi 2010/2011.

2. Mengulas mengenai ucapan yang disampaikan oleh saudara presiden PMUKM yang baharu, saya melihat banyak aspek yang perlu dikaji semula secara terperinci dan profesional dalam menperolehi manfaat dan kebaikan secara menyeluruh buat mahasiswa UKM.

3. Perkara pertama yang sangat mengecewakan saya adalah mengenai dasar presiden yang mahukan satu perubahan yang signifikan dalam kepimpinan PMUKM. namun yang ditekankan dan diusulkan ialah mengenai LOGO, WARNA dan Entiti PMUKM itu sendiri. LOGO yang saya kira telah digunakan sejak awal penubuhan PMUKM iaitu sekitar tahun 1973 - an mahu ditukar semata-mata atas nama perubahan. Dalam konteks ini saya dukacita kerana saudara presiden melihat bahawa dengan menukarkan logo atau warna adalah perubahan yang mencukupi meskipun paradigma dan dogma fikiran masih ditakuk yang lama. Justeru rugilah kita jika beranggapan demikian. Meskipun tidak direstui oleh Tan Sri Naib Canselor (NC) tempoh hari, saya melihat perlu ada satu usaha yang bernas untuk mewujudkan dasar yang lebih bijak demi intelektual institusi kemahasiswaan.



4. Dasar Presiden pada kali ini juga menyentuh mengenai permasalahan air yang telah diperjuangkan untuk sekian lamanya. Bagi saya, dasar presiden yang lepas juga telah menyuarakan permasalahan yang sama dan pihak pengurusan universiti telah mengambil perhatian dan tindakan susulan sedang dan akan dilaksanakan. Justeru saya merasakan bahawa dasar yang dikemukan ini adalah perbuatan sia-sia kerana banyak lagi isu atau masalah pelajar yang wajar diambil perhatian oleh kepimpinan baharu PMUKM.

5. Konsep kebebasan akademik yang dibawakan hanya memberikan definisi atau makna perkataan-perkataan tertentu sahaja. Ulasan-ulasan yang diberikan hanya sekadar retorik yang masih samar dan tidak berpijak pada bumi yang nyata atau terlalu idealis. Tiada sebarang cadangan mengenai bagaimana kita hendak mencapai kebebasan akademik itu sendiri. Justeru saya melihat keadaan ini merupakan satu lagi kelemahan dalam Ucapan Dasar Presiden yang telah berlangsung tempoh hari yang wajar ditangani secara bijaksana.

6. Tema "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti" yang mendukung PMUKM pada sesi ini yang mempunyai 4 paksi utama saya lihat sebagai satu tema yang samar dan penuh tanya. hal ini demikian kerana, perkara apakah yang ingin dicapai dan direlisasi andai dasar yang dibawa sudah dan akan dilaksanakan oleh pengurusan universiti.

7. "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" merupakan peribahasa yang digunakan dalam ucapan dasar presiden yang mahu mewujudkan masyarakat kampus yang mempunyai perpaduan dan nilai kebersamaan yang tinggi. Perkara ini juga telah disentuh dan dihujahkan dalam dasar presiden sesi lepas yang membawa dan menyokong gagasan 1 Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan. Perkara ini menunjukkan tiada satu langkah atau cadangan konkrit yang dikemukakan sebaliknya hanya retorik yang tiada bermakna. PMUKM kali ini juga dilihat seperti tidak menerima gagasan 1 Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan kerana tiada satupun seruan agar mahasiswa menggunakan dan menyemai budaya 1Bangsa 1 Malaysia.

bersambung....

:: TEGUH SETIA BERSATU ::

at 2:51 PG , 2 Comments