Selamat Menghadapi Peperiksaan Sahabat

jangan lupa USAHA + DOA + TAWAKAL = KEJAYAAN

25 Oktober 2010 at 12:12 PG , 1 Comment

Mahasiswa Perlu Cakna Tentang AKDN


PENJELASAN MENGENAI AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) 1960

Ditulis Oleh : PANEL PEMIKIR JABATAN HAL EHWAL KHAS
Penjelasan Isu

Apakah itu AKDN atau ISA?
Akta ini adalah salah satu undang-undang pencegahan yang digubal di bawah perkara 149,Perlembagaan Persekutuan. Ia telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia pada 1 Ogos 1960 dan diperluaskan penguatkuasaannya di Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Apakah tujuan tujuan ISA?
Tujuan ISA adalah untuk mengelakkan dari berlaku ancaman keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negara yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu yang bertujuan menganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara.

Pernahkah ISA dipinda?
ISA pernah dipinda beberapa kali pada tahun-tahun berikut:
1) 1962
2) 1963
3) 1964
4) 1965
5) 1966
6) 1969
7) 1989

Apakah contoh-contoh kes yang membabitkan tindakan ISA?

PKM
Mei 13
Al-Maunnah
Jamaatul Islamiyah
Jundul-Ilah
Penculikan di Sabah
Hindraf

Kenapa tidak digunakan Ordinan Jenayah sedia ada?
ISA tidak bermotif untuk menganayai sesiapa juga yang ditahan oleh polis. Mereka ditahan berasaskan kepada kegiatan-kegiatan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah sabotaj, subversif, pengintipan(espionage), ekstremis agama dan kaum, keganasan dan militan.
Selain itu, maklumat risikan dari dalam dan luar negera terutamanya dari badan-badan keselamatan awam negara luar juga diambil kira.Penilaian tahanan ISA diasaskan kepada maklumat terperinci pihak polis. Sekiranya tiada sebarang bukti, tahanan dibebaskan mengikut masa tertentu.
Peruntukan undang-undang Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan, tidak mempunyai peruntukan untuk membicarakan kes-kes ISA.

Apakah yang dimaksudkan dengan penahanan?
Seksyen 73 (1) ISA memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awalan menahan mana-mana individu/kumpulan yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Seksyen ini membolehkan polis menahan individu berkenaan selama;
a) 1 hari 1 malam (24 jam)
b) 2 hari 2 malam (48 jam)
c) 1 minggu (168 jam)
d) 60 hari (1440 jam)
Jika pihak polis belum berpuas hati selepas 60 hari, ia perlu memaklumkan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dengan mengemukakan hujah-hujah yang kukuh bagi membolehkan tahanan dilanjutkan lebih daripada 60 hari.
Benarkah ISA dikatakan bertentangan dengan hak asasi manusia?
Sebenarnya dalam masa 3 bulan tahanan boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat Tahanan mengenai hak mereka dengan membawa peguam mereka bersama-sama dengan Lembaga Penasihat Tahanan. Sekiranya Lembaga Penasihat mendapati tahanan berkenaan masih ada ancaman keselamatan maka, tahanan boleh dilanjutkan sehingga 60 hari.

Adakah ruang rayuan untuk mereka yang ditahan?
Walaupun peruntukan 73(1) menyatakan pihak polis tidak perlu merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, namun tahanan mempunyai hak untuk mencabar kesahihan penahanan mereka dan juga berhak membawa keluarga bersama peguam berhadapan dengan Lembaga Penasihat.

Selepas 60 hari, jika pihak polis mendapati masih ada ancaman kepada keselamatan negara maka perakuan hendaklah dibuat kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengikut peruntukan seksyen 8(1) atau 8(5) dimana Menteri akan melihat hujah-hujah pihak polis untuk menahan individu berkenaan melebihi 60 hari.

Selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengkaji hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak polis Menteri perlu menurunkan tandatangan ke atas dokumen yang dipanggil perintah terhad (Detention Order).

Adakah negera-negera lain mempunyai akta yang serupa ISA?
Beberapa negara lain turut mempunyai undang-undang yang meyerupai ISA untuk mempertahankan keselamatan negara mereka dari ancaman dalam dan luar.

Singapura mempunyai ISAnya tersendiri bagi tujuan menahan individu yang dianggap boleh mengancam keamanan dan keselamatannya. Pada 1963 dalam operasi Coldstore seramai 100 individu-individu terdiri dari ahli-ahli politik dan persatuan telah ditahan. Pada 2006, Singapura menahan Mas Selamat Bin Kastari, anggota (JI) Jamaatul Islamiyyah.

Brunei juga berhadapan dengan ancaman tertentu dan ISA telah digunapakai.

Filipina, Thailand dan Indonesia tidak mempunyai akta bertulis seperti ISA. Mereka menggunakan undang-undang sedia ada untuk menangani individu-individu yang menjejaskan keselamatan negara mereka.

Di Indonesia, aktivis-aktivis Jamaatul Islamiyyah (JI) begitu aktif dan mereka telah melakukan pengeboman di beberapa hotel terkemuka di Jakarta pada 17 Julai 2009. Pada 2002, Bali juga menghadapi pengeboman yang telah mengorbankan 202 orang, majoritinya pelancong dari Australia.

Negara Thailand mengakui bahawa Malaysia adalah satu-satunya Negara aman yang mempunyai akta khusus untuk menghadapi ancaman yang memudaratkan Negara.

Amerika Syarikat sebuah negara yang mengagungkan demokrasai dan hak asasi turut mempunyai akta yang serupa yang dipanggil The USA Patriot Act (Providing Appopriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism Act).

Akta yang komprehensif itu melibatkan pindaan-pindaan akta lain demi mengukuhkan perpaduan Amerika Syarikat. Misalnya, Patriot Act membolehkan pindaan dibuat kepada akta Immigration and Nationality Act (INA).

Ia membolehkan menahan seseorang asing yang membahayakan keselamatan AS sehingga 90 hari dan paling lama 6 bulan jika diperlukan.

Dalam kes pengeboman New York Trade Centre pada 9 September, ramai individu dari negara asing yang disyaki terlibat dalam tragedi itu ditahan dan dipenjarakan di penjara Guantanamo Bay sehingga kini, termasuk 2 dari rakyat Malaysia.

Akta ini walaupun diterima oleh majoriti ahli kongres tetapi telah dikritik keras oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, namaun kerajaan AS tetpa mempertahankannya.

Di United Kingdom, akta seperti ISA yang dipanggil Terrorism Act yang bukan baru telah diguna pakai untuk berdepan dengan terrorism di utara Ireland.

Adakah ISA releven dengan pandangan Islam?
Doktor Borhanuddin Al Hilmi pengasas Parti Islam SeMalaysia (PAS) membuat perbandingan tentang ISA dengan sebilah pisau yang tajam yang boleh digunakan untuk kebaikan, dan pada masa yang sama juga boleh digunakan untuk keburukan.

Ibnu Najim berpendapat:
“Sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya boleh dilaksanakan”.

Doktor Mohamad Mahmud Al Khalidi dalam kitabnya ”Qawa’id Nizam Al Hukmi Fi Al Islam” sebuah tesis Ph.D beliau menyatakan:
“Para sahabat juga sependapat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan yang didokong oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum, undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah”.

Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang berkaitan jalan raya, seluruh umat wajib disisi syarak mematuhi apa yang diperintah oleh Ketua Negara. Prinsip Sad Az Zara’ie iaitu: “Membendung Punca Keburukan”

Penutup
Pepatah Arab
“Al-Wiqayatu Khairun Mina Alillaj”
“Mencegah lagi baik daripada mengubat ”

Disediakan Oleh:
PANEL PEMIKIR JABATAN HAL EHWAL KHAS

Disunting oleh:
KETUA UNIT KOMUNIKASI MEDIA
JABATAN HAL EHWAL KHAS

***************************************************************

Adakah kita mengetahui dengan jelas mengenai akta ini dengan perincian yang secukupnya? jangan biarkan diri dan minda kita terus-terusan dimomokan oleh "orang-orang" yang punyai agenda tertentu untuk meraih kepentingan tertentu..

***********************************************************************************

22 September 2010 at 11:39 PTG , 0 Comments

Isu Memasuki Ruang Utama Solat Masjid

Kita tidak nafikan bahawa ilmuwan Islam berselisih pandangan tentang hukum bukan Muslim masuk ke masjid. Ada yang membenarkan secara mutlak. Ada juga yang melarangnya secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang membezakan antara masjid di tanah haram dengan tanah halal.

Jika masyarakat kita selesa dengan mazhab al-Syafi'e, saya bawakan di sini kenyataan seorang pendokong mazhab ini iaitu Al-Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa mazhab al-Syafie mengharuskan bagi bukan Islam masuk ke semua masjid kecuali di masjid al-Haram dan sekitarnya (yakni di tanah haram Mekah).

Bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke tanah haram Mekah, ada pun selain dari Mekah diperbolehkan dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: "Dan sekiranya bukan Islam itu dalam keadaan berhadas besar, bolehkah dia berdiam di dalam masjid? Ada dua pandangan, dan yang paling shahih adalah dibenarkan." (lihat Majmu' Syarh al-Muhazdzab, karya al-Imam al-Nawawi 19/437).




Adapun firman Allah, maksudnya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka mereka tidak dibenarkn mendekati masjid al-Haram selepas tahun ini". (surah al-Taubah, 9:27),

Bukan bererti zahir najis tubuh mereka, sebaliknya larangan memasuki masjid al-Haram kerana perbuatan mereka yang suka mempraktikkan adat-adat Arab jahiliyyah seperti bertawaf dalam keadaan telanjang. Bahkan larangan ini khusus untuk masjid al-Haram dan tanah haram Mekah secara umumnya.

Perlu diingatkan para ulama telah bersepakat; bukan Islam dibenarkan untuk masuk ke masjid kerana keperluan seperti inginkan bantuan atau mendengar dakwah Islam. Dan hal ini perlu. mendapat keizinan daripada pemerintah Islam.

Al-Syeikh Soleh al-Munajjid yang merupakan ulama terkenal di Saudi Arabia merangkap penyelia bagi laman web soal jawab Islam terkenal, iaitu www.islamqa.com, menyatakan: "Ada pun masuknya bukan Islam untuk sekadar lawatan melihat masjid dan bersama-sama dengan mereka para wanita yang tidak menutup aurat, membawa kamera, serta masuknya mereka ke masjid tanpa penghormatan, maka hal ini merupakan perkara mungkar lagi tercela. Tidak boleh membenarkan mereka masuk." (no. fatwa: 9444).

Saya katakan, sedangkan Nabi pernah menghalau seorang wanita yang bersuami kerana memakai wangian ketika datang ke masjid. Bahkan Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan mencuci wangian itu (riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jelas, larangan Nabi SAW kerana dibimbangi wangian tersebut mengganggu penumpuan jemaah masjid, apatah lagi memasuki masjid dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada masyarakat tempatan yang agak sensitif dengan isu seperti ini. Setiap adat yang tidak bercanggah dengan syariat, perlu dihormati.

Kaedah fiqh jelas menyatakan bahawa "al- 'aadah muhakkamah' iaitu adat yang tidak menyanggahi hukum syarak harus dipraktikkan. Dan perkara ini perlu dirujuk kepada pemerintah Muslim.

Memang Nabi SAW pernah membenarkan deligasi dari kabilah Thaqif masuk ke masjid sedangkan mereka itu bukan Islam (riwayat al-Thobrani). Begitu juga Tsumamah bin Utsal yang masuk ke masjid sebelum memeluk Islam (riwayat al-Bukhari).

Bahkan masjid di zaman Nabi SAW dibuka untuk semua manusia agar dakwah Islam dikenali dan diterima. Deligasi atau individu bukan Islam diberi peluang untuk memasuki masjid agar dapat melihat akhlak dan kebaikan Islam seterusnya membuatkan mereka tertarik untuk menerima dakwah Islam.

Tetapi apa yang berlaku hari ini amat berbeza, bukan Islam yang jelas menentang secara terang hukum Allah bahkan secara dasarnya parti mereka tidak akan menerima 'gelaran' negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia, diberi peluang untuk berucap di dalam ruangan solat dan mendapat layanan mesra daripada umat Islam.

Sedangkan apabila orang Islam yang berlainan parti ingin memberi sumbangan dan bantuan, masing-masing menolak kerana takut parti yang bertentangan dapat meraih populariti. Subhanallaah. Inikah sikap Muslim dengan saudaranya sendiri?.

Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi yang diketuai oleh al-Syeikh Abdurrazzaaq 'Afifi (pada ketika itu) telah mengeluarkan fatwa tentang hal ini: "Pihak ahli majlis fatwa telah bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali." (lihat Keputusan Fatwa no: 28, tarikh, 21 Syawal 1400H)

Dua perkara yang perlu ditekankan di sini adalah; pertama bagi pihak yang meminta bantuan, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak melanggar dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam. Kedua, bagi Muslim yang berkemampuan, janganlah terlalu memilih untuk membantu. Difokus kepada partinya, diabaikan lawannya. Begitu juga sikap ingin glamour dan popular perlu dihapuskan daripada jiwa kita.

Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram. Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah. Cuba bayangkan jika suasana bersedekah ini dipraktikkan oleh umat Islam, nescaya kita mampu mencipta perpaduan yang kukuh lagi utuh. Lihatlah, jika kita mengabaikan umat Islam, bukan Islam dipuji manakala Muslim dicaci.

Saya tidak nafikan bahawa umat Islam wajib melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini kerana mereka adalah ahlul dzimmah (yang dilindungi kerana perjanjian).

Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah. Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama.

Wallaahua'alam.

FATHUL BARI MAT JAHYA
Penasihat Agama Institut Jantung Negara

**************************************
Pandangan Ilmuan Muda yang merupakan Penasihat Agama IJN
******************************************

31 Ogos 2010 at 3:39 PTG , 2 Comments

Selamat Hari Merdeka

28 Ogos 2010 at 1:43 PTG , 0 Comments

Politik Tiga Budak Hitam

Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di tepi pantai, lalu bertemu dengan lampu ajaib. setelah digosok-gosok , maka keluarlah jin dari dalam lampu ajaib itu. seratus peratus macam cerita Aladdin dan Lampu Ajaib.

Maka, jin yang tahu berterima kasih itu pun berkata, "mintalah apa yang kamu hendak, aku akan cuba dapatkan untuk kamu".

budak hitam yang pertama berkata, "aku nak jadi putih". tup! terus budak itu jadi putih.

budak hitam yang kedua pula berkata, "aku mahu menjadi lebih putih daripada budak hitam yang pertama tadi". tup! tup! budak hitam yang kedua itu menjadi lebih putih daripada budak hitam yang pertama tersebut.


melihat kedua-duanya menjadi putih, budak hitam yang ketiga tadi berkata, "aku mahu jadi putih daripada kedua-dua budak hitam yang telah menjadi putih tadi".

ketika itu, jin mula menggaru-garu kepalanya, kemudian berkata, "yang itu saya minta maaf tuan. ilmu saya belum cukup lagi. saya tak dapat tunaikan permintaan itu".

lalu budak hitam itu berkata, "tak mengapa. kalau kamu tak dapat jadikan saya lebih putih, saya minta kamu tukarlah kedua-dua budak hitam yang telah putih ini menjadi hitam semula".

(Dipetik dari buku Tunggu Apa Lagi? oleh NOBISHA)

14 Ogos 2010 at 10:32 PTG , 3 Comments

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah... syukur kerana kita sempat diketemukan dengan bulan ramadhan sekali lagi.. bulan yang pada awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka


moga ramadhan kali ini akan memberi pengertian yang besar dalam hidup kita dan bersama menjejak malam Lailatulqadar yang merupakan malam lebih baik dari 1000 bulan: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3). Allah Berfirman maksudnya: Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Surah Al-Qadr, ayat 4-5).


kepada semua sahabat, rakan dan taulan selamat menjalani ibadah puasa dan moga kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.... Marhaban ya Ramadhan

11 Ogos 2010 at 1:19 PG , 0 Comments

Pelajar perlu miliki daya kreatif, inovasi

PUTRAJAYA: Golongan pelajar bukan saja perlu mahir dalam kemahiran profesional, tetapi turut melengkapkan diri dengan kebolehan generik yang berteraskan daya kreativiti dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pelajar perlu miliki daya kreatif, inovasi

MUHYIDDIN  bertemu wakil pelajar,  dari kiri, Mohd Kamal Ali, Ahmad Wafi Sahedan, Muhammad Hilmi Juhari, Khairul Anuar Abu Kasim,     serta Muhammad Haniff Humam selepas merasmikan MPPK, di  Putrajaya, semalam. Turut hadir,  Mahamed Khaled dan  Saifuddin.

MUHYIDDIN bertemu wakil pelajar, dari kiri, Mohd Kamal Ali, Ahmad Wafi Sahedan, Muhammad Hilmi Juhari, Khairul Anuar Abu Kasim, serta Muhammad Haniff Humam selepas merasmikan MPPK, di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Mahamed Khaled dan Saifuddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebolehan generik seperti kemahiran menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu yang berfaedah menerusi cetusan daya kreativiti dan inovasi amat diperlukan negara untuk memacu ke arah ekonomi berpendapatan tinggi
Selain itu, katanya, kemahiran berkenaan juga berupaya mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam perangkap persepsi atau emosi yang mengaburi pandangan mereka mengenai sesuatu isu.
"Pelajar tidak seharusnya mengehadkan pencarian ilmu dalam kuliah, sebaliknya lebih kreatif dalam meneroka ilmu menerusi pelbagai sumber, termasuk pembabitan dalam aktiviti yang akan mendedahkan mereka kepada pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang tidak diperoleh dalam bilik kuliah," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bilangan 1/2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MPPK, berkata kemahiran kepemimpinan dan pengurusan organisasi yang cekap dapat diperoleh dan dimantapkan melalui pembabitan pelajar dalam persatuan atau kelab di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS). Katanya, pelajar juga perlu mempunyai kemahiran untuk berhujah dan mengeluarkan pandangan atau cadangan yang bernas dan kemahiran penting itu boleh dibina serta dimantapkan melalui pembabitan dalam program diskusi atau wacana di universiti. Muhyiddin berkata, dengan keupayaan berfikir secara objektif dan kesediaan untuk mendengar pandangan dilontar dari sudut berbeza, pelajar akan dapat menghormati perbezaan pendapat, menerima pandangan terbaik dan mengelak daripada terjerumus dalam polemik tidak berfaedah. MPPK adalah wadah utama yang memberi peluang kepada kepemimpinan pelajar di IPTA dan IPTS berbincang mengenai pelbagai isu penting negara bersama kepemimpinan tertinggi negara.

(Ehsan Berita Harian (klik) 07/08/2010)

09 Ogos 2010 at 1:36 PG , 0 Comments

Permuafakatan PAS-PEKEMBAR(UMNO)- Perspektif Mahasiswa Millennium

Hampir sebulan atau mungkin lebih dari itu penulis tidak mencoretkan pandangan dan perspektif diri penulis sendiri di ruangan ini.. masalah masa yang sentiasa menghimpit disamping bebanan tugasan kuliah dan aktiviti kesukarelawanan yang sentiasa tiada kenal penghujungnya... namun, penulis yang memilih untuk menjalani jalan ini maka perjuangan itu tiada akan selesai selagi nyawa dikandung jasad..

pandangan yang ingin dikongsikan ini sekadar pandangan peribadi yang pasti ada kekurangannya maklumlah tiada manusia yang sempurna dan pasti ada kekhilafan dari segi pemikiran dan pandangan. jadi jika pandangan ini mengganggu emosi sesetengah pihak, penulis mengalu-alukan komen dan pandangan membina anda semua yang mengunjungi laman ini.

sejak belakangan ini, cerita mengenai perpaduan parti melayu dan islam terbesar PAS danPEKEMBAR (UMNO) semakin hari semakin kedengaran dan semakin itulah ianya menarik untuk diikuti. jika dilihat, isu perpaduan yang dicanangkan ini kedengaran sejak zaman Tun DR. Mahathir lagi dengan UNITY TALK yang tiada kesudahan... Ketika zaman Tun Abdullah (Pak Lah) isu ini seakan menjadi realiti apabila Pak Lah dan Pimpinan PAS Pusat memandang serius perkara ini. namun seperti yang kita semua ketahui, hajat tinggal hajat.

kini, isu ini mula hangat dan semakin hangat apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak pimpinan PAS untuk berunding mengenai permuafakatan PAS-PEKEMBAR (UMNO). ada suara-suara yang mengatakan bahawa UMNO hanya perlukan PAS di saat genting kerana selepas kehilangan 4 negeri pada pilihan raya lepas dan untuk mengukuhkan hegemoni politik dan kerelevenan pertubuhan kebangsaan melayu bersatu tersebut. atau UMNO benar-benar menginginkan perbentukan satu gagasan partai yang mampu mengembalikan dan mengukuhkan kesepaduan ummah di negara ini..
bagi pimpinan PAS cukuplah sejarah menjadi teladan mengenai sikap UMNO yang dikatakan menyingkir keluar PAS selepas merasakan selesa dengan pengaruh politik ketika itu 1977. PAS merasakan bahawa UMNO telah memungkiri semangat setiakawan yang telah diberikan oleh PAS.

bagi UNMO pula, mereka punyai dalil tersendiri mengenai penyingkiran PAS itu melalui petikan ucapan Tun Hussien Onn ini:


"TERLEBIH dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum. Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti. Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi. Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya. Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan. Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja. Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu. Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik. Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri. Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO. Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain? Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini? Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang. Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini. Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS. Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.
Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah".

(Ucapan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur)

Penulis membayangkan alangkah indahnya jika permuafakatan dan kerjasama ini dapat direalisasikan dan pasti memberi demensi baharu yang pasti lebih segar dan ranum untuk transformasi lanskap politik negara secara khasnya dan institusi politik kemahasiswaan secara amnya. janganlah politik kita menjadi seperti yang digambarkan oleh blogger terkenal NOBISHA.COM yang mengatakan bahawa "Nak jadi orang politik di Malaysia tak susah. Skil yang perlu ada ialah menyerang dan menjatuhkan lawan. Sekiranya tak ada isu yang cukup, adakan brainstorming untuk cari isu. Itulah politik purba yang masih kekal di negara ini".

bagi penulis tiada pihak yang benar dan salah kerana kedua-duanya pasti punyai dalil dan bukti yang tersendiri bagi menjustifikasikan hujah mereka.
pandangan penulis Berpadulah jika itu menguntungkan ummah dan negara, sebaliknya tinggalkan paduan tersebut jika ianya hanya memberi kerosakkan buat umat islam di negara ini.

*************************************************

Penulis mengalu-alukan pandangan dan kritikan anda mengenai post ini. kerana setiap penambahbaikan idea penulis akan memberi keuntungan buat kita bersama. Namun gunakanlah bahasa yang berhemah untuk membuktikan keintelektualan institusi kemahasiswaan kita...

**************************************************

29 Julai 2010 at 12:08 PTG , 0 Comments