Isu Memasuki Ruang Utama Solat Masjid

Kita tidak nafikan bahawa ilmuwan Islam berselisih pandangan tentang hukum bukan Muslim masuk ke masjid. Ada yang membenarkan secara mutlak. Ada juga yang melarangnya secara mutlak. Begitu juga ada ulama yang membezakan antara masjid di tanah haram dengan tanah halal.

Jika masyarakat kita selesa dengan mazhab al-Syafi'e, saya bawakan di sini kenyataan seorang pendokong mazhab ini iaitu Al-Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa mazhab al-Syafie mengharuskan bagi bukan Islam masuk ke semua masjid kecuali di masjid al-Haram dan sekitarnya (yakni di tanah haram Mekah).

Bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke tanah haram Mekah, ada pun selain dari Mekah diperbolehkan dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: "Dan sekiranya bukan Islam itu dalam keadaan berhadas besar, bolehkah dia berdiam di dalam masjid? Ada dua pandangan, dan yang paling shahih adalah dibenarkan." (lihat Majmu' Syarh al-Muhazdzab, karya al-Imam al-Nawawi 19/437).




Adapun firman Allah, maksudnya: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka mereka tidak dibenarkn mendekati masjid al-Haram selepas tahun ini". (surah al-Taubah, 9:27),

Bukan bererti zahir najis tubuh mereka, sebaliknya larangan memasuki masjid al-Haram kerana perbuatan mereka yang suka mempraktikkan adat-adat Arab jahiliyyah seperti bertawaf dalam keadaan telanjang. Bahkan larangan ini khusus untuk masjid al-Haram dan tanah haram Mekah secara umumnya.

Perlu diingatkan para ulama telah bersepakat; bukan Islam dibenarkan untuk masuk ke masjid kerana keperluan seperti inginkan bantuan atau mendengar dakwah Islam. Dan hal ini perlu. mendapat keizinan daripada pemerintah Islam.

Al-Syeikh Soleh al-Munajjid yang merupakan ulama terkenal di Saudi Arabia merangkap penyelia bagi laman web soal jawab Islam terkenal, iaitu www.islamqa.com, menyatakan: "Ada pun masuknya bukan Islam untuk sekadar lawatan melihat masjid dan bersama-sama dengan mereka para wanita yang tidak menutup aurat, membawa kamera, serta masuknya mereka ke masjid tanpa penghormatan, maka hal ini merupakan perkara mungkar lagi tercela. Tidak boleh membenarkan mereka masuk." (no. fatwa: 9444).

Saya katakan, sedangkan Nabi pernah menghalau seorang wanita yang bersuami kerana memakai wangian ketika datang ke masjid. Bahkan Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan mencuci wangian itu (riwayat Ibnu Khuzaimah).

Jelas, larangan Nabi SAW kerana dibimbangi wangian tersebut mengganggu penumpuan jemaah masjid, apatah lagi memasuki masjid dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada masyarakat tempatan yang agak sensitif dengan isu seperti ini. Setiap adat yang tidak bercanggah dengan syariat, perlu dihormati.

Kaedah fiqh jelas menyatakan bahawa "al- 'aadah muhakkamah' iaitu adat yang tidak menyanggahi hukum syarak harus dipraktikkan. Dan perkara ini perlu dirujuk kepada pemerintah Muslim.

Memang Nabi SAW pernah membenarkan deligasi dari kabilah Thaqif masuk ke masjid sedangkan mereka itu bukan Islam (riwayat al-Thobrani). Begitu juga Tsumamah bin Utsal yang masuk ke masjid sebelum memeluk Islam (riwayat al-Bukhari).

Bahkan masjid di zaman Nabi SAW dibuka untuk semua manusia agar dakwah Islam dikenali dan diterima. Deligasi atau individu bukan Islam diberi peluang untuk memasuki masjid agar dapat melihat akhlak dan kebaikan Islam seterusnya membuatkan mereka tertarik untuk menerima dakwah Islam.

Tetapi apa yang berlaku hari ini amat berbeza, bukan Islam yang jelas menentang secara terang hukum Allah bahkan secara dasarnya parti mereka tidak akan menerima 'gelaran' negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia, diberi peluang untuk berucap di dalam ruangan solat dan mendapat layanan mesra daripada umat Islam.

Sedangkan apabila orang Islam yang berlainan parti ingin memberi sumbangan dan bantuan, masing-masing menolak kerana takut parti yang bertentangan dapat meraih populariti. Subhanallaah. Inikah sikap Muslim dengan saudaranya sendiri?.

Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi yang diketuai oleh al-Syeikh Abdurrazzaaq 'Afifi (pada ketika itu) telah mengeluarkan fatwa tentang hal ini: "Pihak ahli majlis fatwa telah bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali." (lihat Keputusan Fatwa no: 28, tarikh, 21 Syawal 1400H)

Dua perkara yang perlu ditekankan di sini adalah; pertama bagi pihak yang meminta bantuan, mereka perlu lebih berhati-hati agar tidak melanggar dasar-dasar dan prinsip-prinsip Islam. Kedua, bagi Muslim yang berkemampuan, janganlah terlalu memilih untuk membantu. Difokus kepada partinya, diabaikan lawannya. Begitu juga sikap ingin glamour dan popular perlu dihapuskan daripada jiwa kita.

Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram. Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah. Cuba bayangkan jika suasana bersedekah ini dipraktikkan oleh umat Islam, nescaya kita mampu mencipta perpaduan yang kukuh lagi utuh. Lihatlah, jika kita mengabaikan umat Islam, bukan Islam dipuji manakala Muslim dicaci.

Saya tidak nafikan bahawa umat Islam wajib melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini kerana mereka adalah ahlul dzimmah (yang dilindungi kerana perjanjian).

Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah. Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama.

Wallaahua'alam.

FATHUL BARI MAT JAHYA
Penasihat Agama Institut Jantung Negara

**************************************
Pandangan Ilmuan Muda yang merupakan Penasihat Agama IJN
******************************************

31 Ogos 2010 at 3:39 PTG , 2 Comments

Selamat Hari Merdeka

28 Ogos 2010 at 1:43 PTG , 0 Comments

Politik Tiga Budak Hitam

Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di tepi pantai, lalu bertemu dengan lampu ajaib. setelah digosok-gosok , maka keluarlah jin dari dalam lampu ajaib itu. seratus peratus macam cerita Aladdin dan Lampu Ajaib.

Maka, jin yang tahu berterima kasih itu pun berkata, "mintalah apa yang kamu hendak, aku akan cuba dapatkan untuk kamu".

budak hitam yang pertama berkata, "aku nak jadi putih". tup! terus budak itu jadi putih.

budak hitam yang kedua pula berkata, "aku mahu menjadi lebih putih daripada budak hitam yang pertama tadi". tup! tup! budak hitam yang kedua itu menjadi lebih putih daripada budak hitam yang pertama tersebut.


melihat kedua-duanya menjadi putih, budak hitam yang ketiga tadi berkata, "aku mahu jadi putih daripada kedua-dua budak hitam yang telah menjadi putih tadi".

ketika itu, jin mula menggaru-garu kepalanya, kemudian berkata, "yang itu saya minta maaf tuan. ilmu saya belum cukup lagi. saya tak dapat tunaikan permintaan itu".

lalu budak hitam itu berkata, "tak mengapa. kalau kamu tak dapat jadikan saya lebih putih, saya minta kamu tukarlah kedua-dua budak hitam yang telah putih ini menjadi hitam semula".

(Dipetik dari buku Tunggu Apa Lagi? oleh NOBISHA)

14 Ogos 2010 at 10:32 PTG , 3 Comments

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah... syukur kerana kita sempat diketemukan dengan bulan ramadhan sekali lagi.. bulan yang pada awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka


moga ramadhan kali ini akan memberi pengertian yang besar dalam hidup kita dan bersama menjejak malam Lailatulqadar yang merupakan malam lebih baik dari 1000 bulan: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3). Allah Berfirman maksudnya: Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Surah Al-Qadr, ayat 4-5).


kepada semua sahabat, rakan dan taulan selamat menjalani ibadah puasa dan moga kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.... Marhaban ya Ramadhan

11 Ogos 2010 at 1:19 PG , 0 Comments

Pelajar perlu miliki daya kreatif, inovasi

PUTRAJAYA: Golongan pelajar bukan saja perlu mahir dalam kemahiran profesional, tetapi turut melengkapkan diri dengan kebolehan generik yang berteraskan daya kreativiti dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pelajar perlu miliki daya kreatif, inovasi

MUHYIDDIN  bertemu wakil pelajar,  dari kiri, Mohd Kamal Ali, Ahmad Wafi Sahedan, Muhammad Hilmi Juhari, Khairul Anuar Abu Kasim,     serta Muhammad Haniff Humam selepas merasmikan MPPK, di  Putrajaya, semalam. Turut hadir,  Mahamed Khaled dan  Saifuddin.

MUHYIDDIN bertemu wakil pelajar, dari kiri, Mohd Kamal Ali, Ahmad Wafi Sahedan, Muhammad Hilmi Juhari, Khairul Anuar Abu Kasim, serta Muhammad Haniff Humam selepas merasmikan MPPK, di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Mahamed Khaled dan Saifuddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebolehan generik seperti kemahiran menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu yang berfaedah menerusi cetusan daya kreativiti dan inovasi amat diperlukan negara untuk memacu ke arah ekonomi berpendapatan tinggi
Selain itu, katanya, kemahiran berkenaan juga berupaya mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam perangkap persepsi atau emosi yang mengaburi pandangan mereka mengenai sesuatu isu.
"Pelajar tidak seharusnya mengehadkan pencarian ilmu dalam kuliah, sebaliknya lebih kreatif dalam meneroka ilmu menerusi pelbagai sumber, termasuk pembabitan dalam aktiviti yang akan mendedahkan mereka kepada pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang tidak diperoleh dalam bilik kuliah," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bilangan 1/2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MPPK, berkata kemahiran kepemimpinan dan pengurusan organisasi yang cekap dapat diperoleh dan dimantapkan melalui pembabitan pelajar dalam persatuan atau kelab di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS). Katanya, pelajar juga perlu mempunyai kemahiran untuk berhujah dan mengeluarkan pandangan atau cadangan yang bernas dan kemahiran penting itu boleh dibina serta dimantapkan melalui pembabitan dalam program diskusi atau wacana di universiti. Muhyiddin berkata, dengan keupayaan berfikir secara objektif dan kesediaan untuk mendengar pandangan dilontar dari sudut berbeza, pelajar akan dapat menghormati perbezaan pendapat, menerima pandangan terbaik dan mengelak daripada terjerumus dalam polemik tidak berfaedah. MPPK adalah wadah utama yang memberi peluang kepada kepemimpinan pelajar di IPTA dan IPTS berbincang mengenai pelbagai isu penting negara bersama kepemimpinan tertinggi negara.

(Ehsan Berita Harian (klik) 07/08/2010)

09 Ogos 2010 at 1:36 PG , 0 Comments